Bab 5
Tindakbalas kita yang pertama ialah dengan menasihatkan umat Islam supaya menggunakan akal fikiran yang dikurniakan Allah SWT dan menjauhkan diri mereka dari apa yang disebut sebagai pergerakan Islam, ulama Islam dan guru-guru tarekat, baik dari badan kerajaan atau bukan kerajaan, yang menahan diri mereka dari berbuat sesuatu untuk mengembalikan Sunnah yang telah hilang dari pengamalan itu. Pihak yang kita maksudkan ialah mereka yang berterusan tidak mengambil apa jua tindakan walaupun perkara ini telah dijelaskan kepada mereka dengan secukupnya.
Peringkat Pertama - Menyediakan syiling emas dan perak akan membolehkan umat Islam memenuhi tuntutan agamanya seperti membayar zakat, mas kahwin, biaya urusan Haji dan sebagainya. Tambahan pula, duit syiling seperti ini akan berfungsi sebagai 'gudang nilai' dan kepada yang berharta sebagai satu cara menyelamatkan kekayaan mereka dari kerugian yang datang bersama dengan penurunan nilai wang kertas (mengatasnamakan inflasi).
Rakyat jelata mesti digerakkan untuk membangkit persoalan mengapa penggunaan Dinar (syiling emas) sebagai wang tidak dibenarkan? Tidak ada kerajaan di dunia yang mungkin dapat memberi jawapan kepada persoalan tersebut kerana IMF sendiri tidak dapat menjawabnya.
Usaha untuk bertindak ke atas undang-undang tersebut yang jelas tidak bermoral dan berbentuk menindas mesti terus diusahakan dalam bentuk perjuangan yang bersesuaian dengan Sunnah yang strategik (iaitu Sunnah Rasulullah SAW dalam perjuangannya menentang penindasan). Sunnah yang sedemikian mengajar kita bahawa program untuk awam yang bertujuan mendidik mereka adalah merupakan peringkat pertama dalam perjuangan membebaskan mereka dari penindasan politik dan ekonomi.
Sungguhpun demikian, ramai di kalangan orang Islam tidak dapat diyakinkan tentang sifat kepalsuan wang kertas yang terdapat dalam sistem kewangan yang ada hari ini selagi golongan Ulama sendiri tidak dapat memahami perkara ini dan berterusan pula dalam mempertahankan kesahihan wang jenis tersebut.
"Adalah tidak lama sebelum datangnya waktu di mana tidak ada yang tinggal dari Islam melainkan namanya sahaja, dan tidak ada yang tinggal dari Al-Quran melainkan penulisannya. Masjid-masjid mereka merupakan bangunan yang tersergam indah tetapi tidak memberi apa-apa hidayah. Dan ulama-ulama mereka merupakan manusia yang paling buruk terdapat di bawah langit. Dari mereka akan menjelma fitnah (huru-hara) dan kepada mereka akan ianya kembali." - (Sunan, Tirmidhi).
Peringkat kedua - Peringkat kedua perjuangan ini akan melibatkan penolakan oleh penduduk luar bandar yang jauh di pedalaman dari menerima dan menggunakan wang kertas atau wang elektronik. Sebagai contoh, penanam padi di pulau Jawa akan digerakkan untuk menuntut supaya hasil jualan padi mereka dibayar dengan dinar. Andaikata pembeli enggan membayar dengan dinar, petani tersebut akan menjadikan padi mereka sebagai wang dan menggunakannya sebagai bahan pertukaran dalam urusan perniagaan mereka. Sudah tentu penggunaan padi sebagai wang merupakan tindakan sementara dan hanya berfungsi dalam urusan kecil-kecilan sahaja. Dengan cara ini wang Sunnah akan menggantikan wang kertas dan wang elektronik sekurang-kurangnya yang melibatkan pertukaran kewangan secara kecil-kecilan.
Saya berpendapat bahawa kita akan lebih mudah mencapai penyelesaian di peringkat makro terhadap permasalahan yang kita hadapi ini dengan memulakan usaha kita mengembalikan penggunaan dinar emas dan dirham perak sebagai wang di peringkat pasaran mikro yang terletak di kawasan luar bandar. Dengan itu saya menggesa para pembaca yang budiman supaya cuba mewujudkan seberapa banyak pasaran mikro yang mungkin di mana dinar dan dirham digunakan semula sebagai wang dalam urusan perniagaan. Apabila ini berlaku, dinar dan dirham akan mempunyai peranan tambahan sebagai penentu nilai di samping perlahan-lahan mengembalikan nilai sebenar kepada semua barangan, hasilan dan sebagainya yang diniagakan di pasaran-pasaran tersebut.
Saya berpegang kepada pendapat bahawa bandaraya-bandaraya pula akan terus terperangkap dengan wang elektronik selagi mana orde Yakjuj dan Makjuj dunia berterusan dalam penguasaan mereka di dunia ini. Bagaimanapun wang Sunnah boleh terus berkembang dari kawasan luar bandar menuju ke kota-kota sehinggalah apa yang diramal oleh Nabi Muhammad SAW berlaku sepenuhnya:-
"Abu Bakr ibn Abi Maryam meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Satu masa mesti akan tiba menimpa umat manusia di mana tiada yang berguna melainkan satu dinar dan satu dirham." (Musnad, Ahmad)
Bagi semua yang turut serta bersama dalam usaha murni ini untuk mengembalikan semula Sunnah yang telah hilang dari pengamalan umat Islam, iaitu penggunaan Dinar Emas dan Dirham Perak sebagai wang, semoga dikurniakan Allah SWT segala kebaikan atas usaha mereka pada Hari Pengadilan nanti.