Monday, 3 October 2016

Ford Focus vs Mazda 3 (2016)

Saya berkesempatan memandu uji Mazda 3 dan Ford Focus 1.5 Ecoboost secara 'back to back' - kedua-dua showroom terletak di Serdang Raya - jadi dapat perhati perbezaan antara dua model kereta ini pada hari yang sama. Kenapa saya pandu uji dua kereta ini sebabnya masih dalam pencarian idea tentang 'kereta seterusnya' (the next car) jika ingin bertukar selera satu hari nanti. Semoga menjadi panduan bila sampai masa nanti, atau jika ia berguna kepada tuan puan, dipersilakan.

Rekabentuk luaran:
Rekabentuk luaran Ford Focus sama sahaja dengan model sebelumnya kecuali bahagian gril depan kelihatan seperti gril Aston Martin. Lampu belakang sedikit kecil berbanding sebelumnya tapi bentuk masih sama. Saya dari dulu lagi suka rekabentuk luaran Ford Focus tapi sejak ada Mazda 3 dengan Kodo Design ni, jadi dilema. Seriously, siapa berani kata Mazda 3 tak cantik. Kalau tak boleh ambil dua dan terpaksa pilih satu, saya ambil... Mazda 3, lagi-lagi kalau dapat warna Soul Red. - Mazda 3 menang.

Kualiti kabin:
Saya dapati kualiti plastik dan fabrik / kulit yang digunakan dalam Mazda 3 terutamanya di kawasan berdekatan dashboard, centre console, tempat handbrake kelihatan lebih kualiti, lebih sedap dipandang berbanding Ford Focus, tapi bukanlah bermakna kualiti kabin Ford Focus teruk sangat. Dari segi rekabentuk dalaman pun saya lebih hampir kepada Mazda 3. Kabin Ford Focus walaupun ada beberapa penambahbaikan pada centre console tetapi secara keseluruhan masih agak conservative. - Mazda 3 menang.

Pemanduan:
Kita mulakan dengan steering. Saya dapati steering Ford Focus lebih ringan berbanding Mazda 3, terutamanya ketika dalam keadaan perlahan, keluar simpang dsb. Secara peribadi, saya lebih cenderung kepada steering yang ada rasa sedikit berat, jadi soal ini terserah kepada citarasa.

Apabila kereta mula bergerak, Mazda yang dipacu oleh enjin SkyActive 2.0 menghasilkan 162hp@6000rpm dan 210Nm@4000 rpm boleh memecut laju namun rasa agak mendatar.

Ford Focus baru ini menggunakan enjin Ecoboost 1.5 menghasilkan 180ps dan 240Nm dari 1600 ke 5000 rpm, jadi untuk pemanduan biasa-biasa pun terasa bertenaga. Dengan mudah boleh memecut, dengan mudah boleh memotong kenderaan di hadapan tanpa perlu banyak usaha.

Dari segi handling, Ford Focus ada sedikit (sedikit sahaja) kelebihan berbanding Mazda 3. Sedikit sahaja. Ada sedikit rasa 'best' ketika mengambil selekoh. Namun jangan lupa Mazda 3 dengan falsafah Zoom-zoom juga berada dalam kalangan kereta yang mempunyai handling terbaik. Jadi margin perbezaan amat sedikit, tapi Ford Focus masih mendahului. - Ford Focus menang.

Maintenance:
Di sebalik keseronokan memandu Ford Focus, saya boleh membayangkan nak maintain Ford Focus 1.5 Ecoboost ni mungkin perlukan lebih perhatian, berbanding Mazda 3 yang berenjin naturally aspirated. Ford Focus tidak lagi menggunakan gearbox Powershift sebaliknya kembali semula kepada gearbox automatik biasa. Mazda 3 juga menggunakan gearbox automatik 6 kelajuan biasa. Kereta Jepun biasanya mempunyai reputasi reliability lebih baik berbanding kereta dari negara lain. - Mazda 3 menang.

Verdict:
Kepada mereka yang mahukan kereta keluarga dengan prestasi dan kepuasan memandu semata-mata dan sanggup berkompromi dari segi lain, Ford Focus mungkin pilihan yang lebih baik. Namun kepada mereka yang mahu kereta seronok dipandu, pada masa sama menarik untuk dipandang dan kabin yang kelihatan lebih kualiti - maka Mazda 3 seharusnya berada dalam radar pemerhatian.

Sunday, 2 October 2016

Proton Saga (2016) - 'A new saga begins'

Hari ini berkesempatan pandu uji Proton Saga baru, 1.6 Premium CVT di Presint Diplomatik, Putrajaya. Tahun lepas saya pernah tulis tentang Proton Saga baru ini sebelum launching. Link di sini. Ini komen saya tentang Saga baru setelah pandu uji.

"Proton Saga - kereta yang dijurutera sesuai keadaan cuaca dan citarasa Malaysia."

Luaran dari hadapan, dari gambar kelihatan seperti design 'selamat', tapi bila betul-betul tengok depan mata, memang design selamat inilah yang serasi dengan imej Saga. Ibarat seorang pemuda pakai kemeja lengan pendek, baju masuk dalam, seluar digosok, rambut disikat rapi. Kemas dan tidak keterlaluan. Ini yang kita mahu. Kalau masih nak touch up juga, bolehlah ikut trend sekarang, paint grill warna gelap kemudian line warna merah. Pun tak ada masalah, masih kemas.

Bila buka engine hood periksa enjin. Ok, enjin 1.3 VVT. Itu faham. Kemudian saya dapati banyak rongga-rongga kosong di hood. Maknanya, enjin berada di tengah, jarak di antaranya dengan komponen-komponen lain agak ketara. Ini sebenarnya sangat bagus. Terutamanya untuk kita yang tinggal di negara beriklim khatulistiwa, panas dan lembap setahun. Jarak antara komponen-komponen jentera ini mengelakkan pengumpulan / perangkap haba yang berlebihan.

Kereta continential kalau tengok dalam engine hood, sudahlah disusun rapat-rapat, dengan plastic cover lagi memang mengundang haba yang senang terperap. Komponen susun rapat-rapat ini sesuai kalau di negara asal mereka di mana 9 bulan dalam setahun adalah sejuk.

Kita beralih pula ke tepi / sisi kereta. Bagus, saiz tayar kelihatan seimbang dengan bentuk dan saiz kereta. Rekaan rim sukan yang sesuai dengan imej muda (target buyer ialah orang muda yang baru mula kerja, atau keluarga kecil). Ada garisan yang merentasi dari pintu depan kemudian pintu belakang hingga ke lampu belakang. Kereta budget, tetapi design bukan budget.

Pintu belakang boleh dibuka 90 darjah! Jarang kita nak hargai benda-benda kecil yang kelihatan remeh seperti ini, tapi pintu boleh buka 90 darjah ni pasti sangat membantu bila situasi memerlukan. Pintu ringan, tapi bila ditutup bunyi padat dan meyakinkan. Cuma perlu effort masa tutup pintu, nama pun ringan, tak boleh malas.

Mari kita ke bahagian belakang. Ini memang bahagian yang terbaik untuk ditenung lama. Ini dia. Di sinilah bila kita duduk sambil pandang belakang Saga, boleh rasa tenang. Design yang cantik memang buat hati kita tenang. Design yang buruk pula sebaliknya boleh buat kita sakit. Sakit kronik. Terutamanya sakit hati. Siapa-siapa kenal mereka yang beri sumbangan kepada design belakang Saga yang cantik ini, tolong shake hand, tolong bagi ucapan tahniah.

Keluasan but belakang dalam 420 liter, sedang-sedang elok untuk muatan satu keluarga 3-4 orang. Saya syorkan saiz but untuk Saga ditetapkan pada 420 liter, tidak kurang tidak lebih, kerana saya khuatir pada masa depan Saga akan didugongkan demi mengejar persaingan kurang sihat 'but siapa lagi besar' sehingga menyebabkan proportion kereta kelihatan tidak seimbang.

Saga baru ini dibina di atas platform yang sama dengan Saga lama. Jadi dimensinya tidak banyak berbeza, cuma panjang sedikit, lebar sedikit disebabkan rekabentuk luar baru, dan sedikit rendah sahaja. Secara peribadi dari lubuk hati saya berpendapat, platform ini mesti diteruskan sampai bila-bila. Pada saya inilah saiz dan bentuk yang ideal. 

Platform ni pada saya adalah 'sweet spot'. Janganlah kita mengada-ngada untuk mengubah sesuatu yang sudah sedang elok. Jangan didugongkan atau dikontotkan bonet depan Saga, seperti yang telah terjadi kepada Persona baru. Itu sangat tragik. 

Masuk ke bahagian dalam, keplastikan bahagian dalamannya yang ketara tidak dapat dinafikan. Bagusnya plastik-plastik keras ini ialah ia kelihatan lebih tahan untuk cuaca kita yang panas. Kalau dibiarkan jemur di tempat terdedah pada tengah hari, suhu boleh mencapai 40 darjah celcius. Plastik keras sepatutnya lebih tahan berbanding plastik lembut contohnya pada dashboard kereta-kereta continental, yang sememangnya direka sesuai untuk cuaca 4 musim.

Aircond? Look no further. Aircond Proton cepat sejuk. 

Untuk sebuah kereta bajet ada ciri-ciri keselamatan yang selalunya hanya ada pada kereta yang jauh lebih mahal, adalah satu perkara yang kita tak boleh lepas pandang. Lepas tu ada parking sensor depan dan belakang, ada reverse camera, ada bluetooth, isofix, macam-macamlah termasuk yang sekarang sudah dikira standard, seperti contohnya boleh main mp3 files. Tak payah pakai FM modulator. Tak payah burn cd audio lagi, ini dah boleh masuk muzium.

Nanti ada orang pertikai, kenapa kereta sekecil segmen A perlu ada parking sensor dan reverse camera. Percayalah, bagi orang-orang muda yang baru terima lesen ini, dan bagi orang-orang berumur yang sudah tak boleh diubah mentaliti, perlu dipasang segala jenis sensor kalau boleh.

Kedua, tiada yang lebih sadis apabila membaca berita budak mati dilanggar ketika sedang mengundurkan kereta. Dan cerita-cerita eksiden seperti ini agak common di Malaysia, sebab kita orang Malaysia ni satu jenis pemandu yang take pride (bangga tak bertempat) bila boleh reverse cepat-cepat, boleh keluar parking cepat-cepat, keluar simpang cepat-cepat.

Kalau lambat nanti kawan-kawan ketawa, ejek tak pandai bawa kereta, slow macam kura-kura etc.

Dari segi pemanduan, rasanya tak perlulah kita komen panjang lebar tentang Proton handling. Siapa yang suka memandu, menghargai cara kereta ambil selekoh dengan sedikit sahaja body roll tanpa perlu banyak tekan brek, pemanduan yang stabil dan tenang walaupun pada halaju tinggi di lebuhraya, dalam kabin yang senyap tak ada lagi bunyi atau gegaran dari enjin dan transmisi, nak kereta baru tetapi mempunyai bajet yang terhad, tidak perlu susah payah fikir, Proton Saga baru adalah salah satu pilihan yang mesti ada dalam senarai. Bukan mesti, wajib. Wajib test drive.

Kereta entry level harga dalam lingkungan RM40k, design lebih refined, tidak dugong, handling bagus, enjin, transmisi dan kabin senyap, aksesori macam-macam. 'Torbaek'.

Sekian.

advertlets

nuffnang