Monday, 3 October 2016

Ford Focus vs Mazda 3 (2016)

Saya berkesempatan memandu uji Mazda 3 dan Ford Focus 1.5 Ecoboost secara 'back to back' - kedua-dua showroom terletak di Serdang Raya - jadi dapat perhati perbezaan antara dua model kereta ini pada hari yang sama. Kenapa saya pandu uji dua kereta ini sebabnya masih dalam pencarian idea tentang 'kereta seterusnya' (the next car) jika ingin bertukar selera satu hari nanti. Semoga menjadi panduan bila sampai masa nanti, atau jika ia berguna kepada tuan puan, dipersilakan.

Rekabentuk luaran:
Rekabentuk luaran Ford Focus sama sahaja dengan model sebelumnya kecuali bahagian gril depan kelihatan seperti gril Aston Martin. Lampu belakang sedikit kecil berbanding sebelumnya tapi bentuk masih sama. Saya dari dulu lagi suka rekabentuk luaran Ford Focus tapi sejak ada Mazda 3 dengan Kodo Design ni, jadi dilema. Seriously, siapa berani kata Mazda 3 tak cantik. Kalau tak boleh ambil dua dan terpaksa pilih satu, saya ambil... Mazda 3, lagi-lagi kalau dapat warna Soul Red. - Mazda 3 menang.

Kualiti kabin:
Saya dapati kualiti plastik dan fabrik / kulit yang digunakan dalam Mazda 3 terutamanya di kawasan berdekatan dashboard, centre console, tempat handbrake kelihatan lebih kualiti, lebih sedap dipandang berbanding Ford Focus, tapi bukanlah bermakna kualiti kabin Ford Focus teruk sangat. Dari segi rekabentuk dalaman pun saya lebih hampir kepada Mazda 3. Kabin Ford Focus walaupun ada beberapa penambahbaikan pada centre console tetapi secara keseluruhan masih agak conservative. - Mazda 3 menang.

Pemanduan:
Kita mulakan dengan steering. Saya dapati steering Ford Focus lebih ringan berbanding Mazda 3, terutamanya ketika dalam keadaan perlahan, keluar simpang dsb. Secara peribadi, saya lebih cenderung kepada steering yang ada rasa sedikit berat, jadi soal ini terserah kepada citarasa.

Apabila kereta mula bergerak, Mazda yang dipacu oleh enjin SkyActive 2.0 menghasilkan 162hp@6000rpm dan 210Nm@4000 rpm boleh memecut laju namun rasa agak mendatar.

Ford Focus baru ini menggunakan enjin Ecoboost 1.5 menghasilkan 180ps dan 240Nm dari 1600 ke 5000 rpm, jadi untuk pemanduan biasa-biasa pun terasa bertenaga. Dengan mudah boleh memecut, dengan mudah boleh memotong kenderaan di hadapan tanpa perlu banyak usaha.

Dari segi handling, Ford Focus ada sedikit (sedikit sahaja) kelebihan berbanding Mazda 3. Sedikit sahaja. Ada sedikit rasa 'best' ketika mengambil selekoh. Namun jangan lupa Mazda 3 dengan falsafah Zoom-zoom juga berada dalam kalangan kereta yang mempunyai handling terbaik. Jadi margin perbezaan amat sedikit, tapi Ford Focus masih mendahului. - Ford Focus menang.

Maintenance:
Di sebalik keseronokan memandu Ford Focus, saya boleh membayangkan nak maintain Ford Focus 1.5 Ecoboost ni mungkin perlukan lebih perhatian, berbanding Mazda 3 yang berenjin naturally aspirated. Ford Focus tidak lagi menggunakan gearbox Powershift sebaliknya kembali semula kepada gearbox automatik biasa. Mazda 3 juga menggunakan gearbox automatik 6 kelajuan biasa. Kereta Jepun biasanya mempunyai reputasi reliability lebih baik berbanding kereta dari negara lain. - Mazda 3 menang.

Verdict:
Kepada mereka yang mahukan kereta keluarga dengan prestasi dan kepuasan memandu semata-mata dan sanggup berkompromi dari segi lain, Ford Focus mungkin pilihan yang lebih baik. Namun kepada mereka yang mahu kereta seronok dipandu, pada masa sama menarik untuk dipandang dan kabin yang kelihatan lebih kualiti - maka Mazda 3 seharusnya berada dalam radar pemerhatian.

Sunday, 2 October 2016

Proton Saga (2016) - 'A new saga begins'

Hari ini berkesempatan pandu uji Proton Saga baru, 1.6 Premium CVT di Presint Diplomatik, Putrajaya. Tahun lepas saya pernah tulis tentang Proton Saga baru ini sebelum launching. Link di sini. Ini komen saya tentang Saga baru setelah pandu uji.

"Proton Saga - kereta yang dijurutera sesuai keadaan cuaca dan citarasa Malaysia."

Luaran dari hadapan, dari gambar kelihatan seperti design 'selamat', tapi bila betul-betul tengok depan mata, memang design selamat inilah yang serasi dengan imej Saga. Ibarat seorang pemuda pakai kemeja lengan pendek, baju masuk dalam, seluar digosok, rambut disikat rapi. Kemas dan tidak keterlaluan. Ini yang kita mahu. Kalau masih nak touch up juga, bolehlah ikut trend sekarang, paint grill warna gelap kemudian line warna merah. Pun tak ada masalah, masih kemas.

Bila buka engine hood periksa enjin. Ok, enjin 1.3 VVT. Itu faham. Kemudian saya dapati banyak rongga-rongga kosong di hood. Maknanya, enjin berada di tengah, jarak di antaranya dengan komponen-komponen lain agak ketara. Ini sebenarnya sangat bagus. Terutamanya untuk kita yang tinggal di negara beriklim khatulistiwa, panas dan lembap setahun. Jarak antara komponen-komponen jentera ini mengelakkan pengumpulan / perangkap haba yang berlebihan.

Kereta continential kalau tengok dalam engine hood, sudahlah disusun rapat-rapat, dengan plastic cover lagi memang mengundang haba yang senang terperap. Komponen susun rapat-rapat ini sesuai kalau di negara asal mereka di mana 9 bulan dalam setahun adalah sejuk.

Kita beralih pula ke tepi / sisi kereta. Bagus, saiz tayar kelihatan seimbang dengan bentuk dan saiz kereta. Rekaan rim sukan yang sesuai dengan imej muda (target buyer ialah orang muda yang baru mula kerja, atau keluarga kecil). Ada garisan yang merentasi dari pintu depan kemudian pintu belakang hingga ke lampu belakang. Kereta budget, tetapi design bukan budget.

Pintu belakang boleh dibuka 90 darjah! Jarang kita nak hargai benda-benda kecil yang kelihatan remeh seperti ini, tapi pintu boleh buka 90 darjah ni pasti sangat membantu bila situasi memerlukan. Pintu ringan, tapi bila ditutup bunyi padat dan meyakinkan. Cuma perlu effort masa tutup pintu, nama pun ringan, tak boleh malas.

Mari kita ke bahagian belakang. Ini memang bahagian yang terbaik untuk ditenung lama. Ini dia. Di sinilah bila kita duduk sambil pandang belakang Saga, boleh rasa tenang. Design yang cantik memang buat hati kita tenang. Design yang buruk pula sebaliknya boleh buat kita sakit. Sakit kronik. Terutamanya sakit hati. Siapa-siapa kenal mereka yang beri sumbangan kepada design belakang Saga yang cantik ini, tolong shake hand, tolong bagi ucapan tahniah.

Keluasan but belakang dalam 420 liter, sedang-sedang elok untuk muatan satu keluarga 3-4 orang. Saya syorkan saiz but untuk Saga ditetapkan pada 420 liter, tidak kurang tidak lebih, kerana saya khuatir pada masa depan Saga akan didugongkan demi mengejar persaingan kurang sihat 'but siapa lagi besar' sehingga menyebabkan proportion kereta kelihatan tidak seimbang.

Saga baru ini dibina di atas platform yang sama dengan Saga lama. Jadi dimensinya tidak banyak berbeza, cuma panjang sedikit, lebar sedikit disebabkan rekabentuk luar baru, dan sedikit rendah sahaja. Secara peribadi dari lubuk hati saya berpendapat, platform ini mesti diteruskan sampai bila-bila. Pada saya inilah saiz dan bentuk yang ideal. 

Platform ni pada saya adalah 'sweet spot'. Janganlah kita mengada-ngada untuk mengubah sesuatu yang sudah sedang elok. Jangan didugongkan atau dikontotkan bonet depan Saga, seperti yang telah terjadi kepada Persona baru. Itu sangat tragik. 

Masuk ke bahagian dalam, keplastikan bahagian dalamannya yang ketara tidak dapat dinafikan. Bagusnya plastik-plastik keras ini ialah ia kelihatan lebih tahan untuk cuaca kita yang panas. Kalau dibiarkan jemur di tempat terdedah pada tengah hari, suhu boleh mencapai 40 darjah celcius. Plastik keras sepatutnya lebih tahan berbanding plastik lembut contohnya pada dashboard kereta-kereta continental, yang sememangnya direka sesuai untuk cuaca 4 musim.

Aircond? Look no further. Aircond Proton cepat sejuk. 

Untuk sebuah kereta bajet ada ciri-ciri keselamatan yang selalunya hanya ada pada kereta yang jauh lebih mahal, adalah satu perkara yang kita tak boleh lepas pandang. Lepas tu ada parking sensor depan dan belakang, ada reverse camera, ada bluetooth, isofix, macam-macamlah termasuk yang sekarang sudah dikira standard, seperti contohnya boleh main mp3 files. Tak payah pakai FM modulator. Tak payah burn cd audio lagi, ini dah boleh masuk muzium.

Nanti ada orang pertikai, kenapa kereta sekecil segmen A perlu ada parking sensor dan reverse camera. Percayalah, bagi orang-orang muda yang baru terima lesen ini, dan bagi orang-orang berumur yang sudah tak boleh diubah mentaliti, perlu dipasang segala jenis sensor kalau boleh.

Kedua, tiada yang lebih sadis apabila membaca berita budak mati dilanggar ketika sedang mengundurkan kereta. Dan cerita-cerita eksiden seperti ini agak common di Malaysia, sebab kita orang Malaysia ni satu jenis pemandu yang take pride (bangga tak bertempat) bila boleh reverse cepat-cepat, boleh keluar parking cepat-cepat, keluar simpang cepat-cepat.

Kalau lambat nanti kawan-kawan ketawa, ejek tak pandai bawa kereta, slow macam kura-kura etc.

Dari segi pemanduan, rasanya tak perlulah kita komen panjang lebar tentang Proton handling. Siapa yang suka memandu, menghargai cara kereta ambil selekoh dengan sedikit sahaja body roll tanpa perlu banyak tekan brek, pemanduan yang stabil dan tenang walaupun pada halaju tinggi di lebuhraya, dalam kabin yang senyap tak ada lagi bunyi atau gegaran dari enjin dan transmisi, nak kereta baru tetapi mempunyai bajet yang terhad, tidak perlu susah payah fikir, Proton Saga baru adalah salah satu pilihan yang mesti ada dalam senarai. Bukan mesti, wajib. Wajib test drive.

Kereta entry level harga dalam lingkungan RM40k, design lebih refined, tidak dugong, handling bagus, enjin, transmisi dan kabin senyap, aksesori macam-macam. 'Torbaek'.

Sekian.

Monday, 26 September 2016

Proton Persona & Proton Saga (2016)

Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran, kerana pada tahun ini, akhirnya Proton mampu menghasilkan kereta yang mempunyai rekaan luaran yang menarik, kualiti dalaman yang mudah diterima, dan enjin yang jimat petrol.

Memandangkan kereta-kereta di Malaysia terutamanya jenama-jenama import dikenakan cukai yang tinggi menyebabkan harga menjadi melambung tinggi, maka pilihan yang tinggal untuk kita ialah untuk Proton insaf tentang peranannya menghasilkan kereta pada harga mampu milik dan pada masa yang sama berkualiti. Mampu milik dan berkualiti. Ya, itu kata kunci penting.

Bermula dengan Iriz, Perdana, Persona dan tak lama lagi kereta ikon Proton, iaitu Saga. Saya dah beberapa kali nampak Iriz atas jalan, dan diakui rekaan luarannya memang menarik. 'Sporty', lain dari lain, nampak solid, nampak steady kalau dipandu laju. Dan yang penting, menurut pemilik-pemilik Iriz, enjin yang digunapakai sekarang memang jimat minyak.

Perdana, walaupun ambil platform dari Honda Accord, tapi rekaan luarannya memang tak ada langsung hint ia berasal dari Accord. Hanya apabila masuk ke dalam kabin baru perasan dashboard Accord. Kualiti material digunakan untuk tempat duduk nampak dan 'rasa' kualiti. Bukan rasa leather murah. Boot sangat luas, rasanya orang pun boleh tidur di dalam. Dek perjanjian dibuat dengan Honda, handling tidak diusik, masih seperti 'typical Japanese car'. Semoga pada masa akan datang boleh disuntik Proton handling.

Ok, Proton Persona ada iras-iras Proton Iriz, dan itu sebenarnya sangat bagus. 'Iriz sedan' dari depan cantik, nampak garang, beralih ke tepi...tayar jelas nampak kecil. Alangkah baiknya kalau boleh masukkan tayar yang lebih besar sedikit. Disebabkan nak dapatkan boot besar, maka keretanya direka meninggi, tapi tayarnya tetap kecil.

Saya telah memandu uji Proton Persona baru ini, dan saya berpuas hati dengan kualiti luaran dan dalaman berbanding harga, dengan kesenyapan dalam kabin, dengan bagaimana suspension menyerap hentakan permukaan jalan yang tidak rata, dengan cara ia selekoh. Malah CVT pun tidak lagi kedengaran bunyi tidak enak. Ini sudah bagus.

Maka sekarang tinggal Saga untuk melangsaikan tugas menaikkan nama Proton di persada 'otomobil'.

Saga, model ikon bagi Proton, nama yang mempunyai sejarah sepanjang penubuhan Proton.

Marilah sekali lagi kita memanjatkan kesyukuran, kerana jurutera-jurutera Proton telah diberi petunjuk dan hidayat supaya tidak mendugongkan Saga, supaya tidak mengambil endah persaingan boot besar yang sudah sampai ke tahap merepek, (lama-lama kereta semua jadi bentuk van) menjadikan ukuran Saga terbaru ini panjang sedikit, lebar sedikit, tetapi tidak meninggi! Ini kombinasi yang menarik menjadikan proportion Saga baru lebih seimbang.

Hari ini 26 Sept, 2016, dalam minggu ini dijangka pelancaran Saga baru 2016. Sudah banyak gambar-gambar bocor di internet, rekaan belakang Saga memang terbaik. Dari depan, rekaan selamat, tapi tak apa, dengan kreativiti, ini bisa diselesaikan dengan sedikit touch up.

InsyaAllah, selepas pelancaran Saga nanti bila unit pameran dan pandu uji sampai di Putrajaya, akan ada peluang untuk lihat lebih dekat dan uji prestasi atas jalanraya sekali.

Bersambung.

Sunday, 25 September 2016

Owner's review - Peugeot 308 VTi 2009 (3rd year)


Dah masuk tahun ketiga pakai peugeot 308, kereta sudah berumur 7 tahun, satu per satu part kereta mula menunjukkan tanda-tanda perlu ditukar. Jadi tahun ini, ialah tahun merepair kereta :p setakat ni yang repair dan maintenance adalah seperti berikut:-

=== Repair / maintenance biasa-biasa ===

Bulb lampu depan dan belakang (kiri dan kanan) + wiring lampu belakang (beberapa RM)
"Pergh, kereta ni suka betul blow lampu. :p Simpan bulb extra just in case perlu tukar sebelum perjalanan jauh."

Tayar depan 2 biji. (RM800)
"Bunga sudah habis, masa untuk tukar baru. Tayar belakang akan menyusul."

Plat nombor baru (RM30)
"Font dah kuning-kuning, tak cantik. "

Brake pad (RM318)
"Brake pad sudah kronik, tak makan. Tukar brake pad brand TRW, cengkaman lebih baik daripada brake pad asal. Dan lebih menarik lagi, tak ada lagi brake dust/habuk pada tayar hadapan!"

Tukar minyak enjin + oil filter setiap 10,000km (RM350)
"Dua kali dalam setahun."

ATF (RM300) + cabin filter (RM74)
"Maintenance demi masa depan yang gemilang."

Total: around RM2.4k

=== Repair 'luar biasa' aka pelik-pelik ===

Replace valve cover gasket (RM300)
"Symptom: Asap berkepul-kepul keluar dari ekzos bila tekan pedal minyak."

Thermostat (RM500) + Water pump (RM500)
"Elok sebelum raya puasa, on the way balik rumah dari Cyberjaya, temperature kereta naik! Langsung park tepi jalan, panggil tow truck, hantar bengkel, tukar termostat. Alang-alang tukar sekali water pump. Nasib baik tak kena masa balik kampung!"

Gasket / oil drain plug (RM300)
"Oil leaking dari bawah enjin. Perasan ada minyak menitik bawah enjin. Masa berhenti di lampu isyarat, asap keluar dari kawasan bawah / tepi enjin. Lepas tukar ni, asap pun tiada, minyak pun tidak menitik atas parking lot."

Total: RM1.6k

===

Jadi total semua repair dan maintenance untuk tahun ini = RM 4k.
Kalau puratakan per bulan, RM300 sebulan untuk servis dan repair.

Kos repair sebanyak itu tahun ini sebenarnya 'masih OK', memandangkan part-part seperti termostat, water pump, gasket, brake pad dan tayar, bukannya tiap-tiap tahun kena tukar. InsyaAllah lagi 4-5 tahun baru mengadap balik part-part ini.

Kalau ikut perkiraan saya, tahun depan cuma perlu tukar 2 biji tayar belakang dan servis biasa minyak enjin 2 kali setahun, 'secara teori' total maintenance dalam RM1.5k sahaja untuk tahun depan (average lebih kurang RM120 sebulan untuk maintenance. OK lah..).

Saya suka drive P308 ni terutamanya bila cruising atas lebuhraya. Stabil, tak ada gegar-gegar walaupun pada halaju tinggi. Body pun nampak solid, rasa confident kalaulah jadi apa-apa luar dugaan. Ciri-ciri keselamatan, airbag dsb tak payah ceritalah, semua bagi.

Design exterior 308 setakat ni tak pernah jumpa kereta lain yang seiras ke 'curi idea' ke, jadi agak unik. Kualiti plastik digunakan dalam interior pun sangat bagus terutamanya soft plastic digunakan untuk dashboard. Seat depan sangat selesa, ada lumbar support bukan seat rata save budget.

Ada review kata seat belakang terlalu tegak dan ruang kaki sangat sempit. Sebagai family car sebenarnya itu tidak menjadi masalah langsung. Anak saya 2 orang duduk dalam child seat, nak recline pun boleh. Asalkan masuk dalam kereta, pasang aircond, terus tidur. Kaki 2 orang budak ni tergantung-gantung lagi, tak perlu pun ruang kaki luas. Lagipun senang untuk saya kalau nak beri botol ke, permainan ke, sebab tak terlalu jauh untuk capai. Tak perlu untuk saya buka seat belt pun.

Kekurangan jelas yang saya nampak ialah maintenance atau repair cost yang 'sedikit' lebih tinggi berbanding jenama lain contohnya dari Jepun. Kemudian kalau beli kereta ini 1st hand, terpaksa melayan karenah sebahagian service centre, tak tahu macam mana nak repair, nak tunggu claim spare part sampai berjanggut. Bila orang viral dalam internet, resale value jadi makin teruk. On positive side, ia kesempatan yang sangat bagus untuk pembeli 2nd hand, termasuk saya.

Kalau beli 2nd hand ada kebebasan untuk pergi independent workshop yang memang specialized kereta Peugeot. Kekurangannya ialah, bukan semua workshop tahu repair / service Peugeot.

Semoga 308 terus gagah (dan tak banyak ragam!), loan pun tinggal setahun lebih sahaja. Lepas setahun itu, tak ada installment, hati banyak senang.

Sekian.

advertlets

nuffnang