Zaman ini zaman duit,
Tak ada duit diri tersepit,
Tapi jangan jadi hamba duit,
Kelak musnah diri sendiri..
Duit, Duit
- lirik "Duit", M.Nasir
Zaman duit
Kita hidup dalam zaman semua benda dinilai berdasarkan nilai duit. Ramai orang pergi ke sekolah, dengan harapan "untuk menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat". Apabila mereka habis sekolah, habis belajar di IPT dan masuk ke alam pekerjaan, mereka dinilai berjaya atau tidak berdasarkan berapa gaji diterima.
Kalau dapat gaji tinggi, mereka akan dipandang tinggi, walaupun kerjanya mungkin tak seberapa. Sebaliknya kalau dapat gaji rendah (ciput) walaupun kerja bagai nak rak, ataupun kerja mulia, mereka dipandang rendah.
Bila datang reunion dengan membawa kereta murah buatan tempatan, berbanding kawan-kawan lain kalau ada yang membawa kereta mahal. Orang yang bawa kereta murah dianggap tidak berjaya kerana nilai duit rendah.
Dulu ramai orang berhijrah ke bandar sebab nak dapat kerja yang boleh beri duit. Orang kampung pandang tinggi kalau hijrah ke bandar kemudian dapat kerja yang dapat duit tiap-tiap bulan. Sekarang gaji RM4000-5000 pun belum tentu dapat hidup sederhana di bandar.
Dulu orang pandang sebelah mata kalau buat kerja pertanian sebab dikatakan tak mampu generate duit yang banyak macam kerja pejabat di bandar. Sekarang ada orang berkecimpung dalam pertanian dan mampu jana pendapatan sampai lima angka. Orang ramai mula pandang tinggi pada pertanian. Sebab boleh buat duit.
Orang pandang tinggi bila kita ada banyak duit, tapi pandang sebelah mata bila tak banyak duit.
Ini hakikat mentaliti orang kebanyakan tentang duit, bukan niat nak mengutuk, tapi kena faham realiti supaya tindakan kita berpijak di bumi nyata tidak berbunyi terlalu idealistik.
Nilai duit semakin merosot
Bagi orang kebanyakan ada yang beranggapan harga barang semakin mahal kerana permintaan semakin tinggi berbanding supply. Sebenarnya harga barang semakin mahal kerana nilai duit semakin merosot. Nilai duit semakin merosot antara sebab kerana kegiatan spekulasi dan sistem perbankan berdasarkan interest.
Ada pihak sengaja menaikkan harga sebab nak dapat untung lebih banyak. Dengan untung lebih banyak tu, boleh bayar loan yang mereka pinjam untuk buka perniagaan atau untuk beli liabiliti. Atau untuk beli barang / harta yang semakin mahal kerana spekulasi harga komoditi / bahan binaan naik. Harga-harga komoditi / bahan mentah ini ditentukan oleh sistem ekonomi yang sangat terbuka kepada eksploitasi.
Jadi dakwaan harga barang naik kerana permintaan tinggi adalah satu mitos yang direka untuk meredakan emosi orang ramai. Satu lagi mitos rekaan ialah istilah-istilah ekonomi yang menyusahkan dan complicated dengan niat untuk menghindari orang ramai daripada berfikir tentang realiti sistem ekonomi, dengan cara itu mengaburi eksploitasi sistem ekonomi daripada diketahui orang ramai.
Jadi zaman sekarang, duit kertas bukan lagi duit, ia sudah menjadi permainan (money game).
Disebabkan nilai duit semakin merosot, dan orang ramai terpaksa berhempas pulas untuk lepasi belanja bulanan, maka ramai yang bekerja bukan kerana passion, tapi sebab jadi hamba duit. Ada orang sampai ke tahap, apa saja yang mampu menghasilkan duit - sembah, sembah. Walaupun kerja haram.
Duit sudah menjadi sembahan.