2010/09/09 KUALA LUMPUR:
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin sikap perkauman yang menebal di kalangan sesetengah rakyat negara ini akan terhapus sedikit demi sedikit melalui kemajuan dicapai negara.
Beliau berkata, jika semua lapisan rakyat pelbagai kaum tidak lagi berasa terancam dan tertekan terutama dari segi ekonomi, mereka akan mudah mengaku bangsa Malaysia, bahkan melupakan asal usul mereka.
Sebagai contoh, katanya, di Amerika Syarikat, rakyat negara itu mengaku sebagai bangsa Amerika walaupun berasal dari Eropah, China atau India, serta tidak lagi menyebut berhubung asal usul mereka, selain menganggap semua rakyat sebagai warga negara.
“Kalau kita dapat bangunkan dan majukan negara, lama kelamaan perasaan bangga dengan negara akan mengatasi perasaan kaum yang ada pada kita semua.
“Bila kita sebut bangsa Malaysia, kita akui asal usul negara ini adalah negara Melayu yang sudah diterima sebagai negara Malaysia,” katanya kepada Berita Harian di pejabatnya di sini, semalam.
Dr Mahathir ditanya bagaimana cara mewujudkan semangat bangsa Malaysia di kalangan rakyat negara ini, ekoran isu perkauman yang dilihat semakin dimainkan pada masa ini.
Beliau berkata, sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, tanggungjawab dan layanan yang perlu diberi terhadap bukan Bumiputera di negara ini tidak pernah diabaikan.
“Mereka (bukan Bumiputera) mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan bila ia dinikmati rakyat, mereka tidak lagi berasa dibezakan dari segi kaum dan mendapat nikmat dari Malaysia,” katanya.
Link: Berita Harian