Dalam dunia Islam kita sering menghadapi dua kefahaman yang melemahkan agama yang agung ini. Pertama; kefahaman yang hanya menumpukan penghayatan Islam kepada persoalan ibadah ritual semata-mata, tanpa atau kurang memperdulikan tentang persoalan pembangunan tamadun dan survival umat ini.
Bagi kefahaman ini, seakan di akhirat kelak Allah hanya mempersoalkan tentang urusan peribadi sahaja. Adapun persoalan dunia persekitaran atau hubungan seseorang dengan saudara muslim atau manusia lain seakan tidak termasuk dalam perkara yang akan disoal dan timbang balasannya oleh Allah di akhirat kelak.
Kefahaman ini sebenarnya telah menjadi racun yang telah memandulkan sesetengah golongan pro-agama sepanjang zaman. Kefahaman kedua yang mengancam agama ini adalah mereka yang menganggap remeh atau lekeh untuk diberikan penekanan atau perbincangan tentang persoalan ibadah ritual dalam agama ini.
Bagi mereka ini pula, tumpuan yang penuh hendaklah diberikan kepada persoalan pembangunan fizikal, ekonomi dan imej luar umat Islam. Persoalan ibadah ritual ini adalah terlalu sampingan dan kita tidak perlu bersoal banyak mengenainya. Seakan bagi mereka ini pula, di akhirat nanti Allah hanya akan mempersoalkan tentang soal hubungan sesama insan semata tanpa mempersoal hubungan antara insan dengan Tuhannya.
(Dari laman blog Minda Tajdid)
Link: drmaza